KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) difahamkan bakal menerima seorang Naib Canselor wanita pertama berkuatkuasa Isnin ini.

Melalui surat tawaran yang dilihat Astro AWANI, pelantikan Naib Canselor itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 10(1) Akta UiTM bagi tempoh berkuatkuasa mulai 9 Ogos 2021 sehingga 11 Oktober 2023.

Surat tawaran kepada individu yang dilantik itu ditandatangani oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi,  Datuk Seri Noraini Ahmad.

Sumber Astro AWANI berkata, pelantikan Naib Canselor itu juga dilihat mampu menyumbang dan membawa UiTM ke arah pencapaian kemajuan akademik yang lebih cemerlang.

Menurut sumber itu juga, pelantikan tersebut sekali gus memenuhi aspirasi dan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs),  Abdul Rahman Mohd Nordin dilaporkan menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) segera melantik Naib Canselor di beberapa universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Kekosongan jawatan itu antaranya membabitkan UiTM.

Menurut Abdul Rahman, keperluan untuk melantik segera jawatan terbabit bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan mampu melaksanakan visi dan misi masing-masing.

Ranking UiTM kini sudah melonjak ke tangga 108 terbaik di Asia dari tangga 181 pada tahun 2017, iaitu 17 peratus terbaik dalam kalangan 634 institusi pengajian tinggi di Asia.